in

10 Tips Memupuk Tabiat Suka Membaca

Malaysia ke arah gelombang memupuk masyarakat menerapkan amalan dan budaya membaca. Purata atau bilangan buku yang dibaca dianggarkan meningkat meskipun perlahan masih tidak mampu menyaingi negara-negara Eropah. Kita kerap dilaungkan dengan pepatah melayu yang berbunyi “membaca itu jambatan ilmu”. Namun, kesedaran membaca ini tetap kurang mendapat perhatian oleh sebahagian walaupun kita tahu membaca mempunyai nilai kepentingan dan kebaikan. Menaikkan semula minat membaca agaklah sukar sekiranya kita tidak mengetahui punca dan cara penyelesaian.

Tips-tips ini akan cuba membantu dan mendorong amalan dan aktiviti membaca diterapkan kembali oleh semua lapisan umur.

1.Berkawan dengan ulat buku atau penulis buku. Majoriti individu dipengaruhi rakan dari segi hobi dan minat. Ini memungkinkan kita mengetahui buku apa yang mereka baca dan kemudian memaksa kita melakukan pembelian. Dalam riwayat Abu Daud, Nabi shallahu ‘alaihi wa sallam juga menyebut bahawa, Seseorang akan mengikuti kebiasaan teman karibnya”. Oleh kerananya, perhatikanlah siapa yang akan menjadi teman karib kalian”. Cari dan beradalah dalam komuniti para ulat buku.

2. Pergi ke Perpustakaan. Perpustakaan menawarkan buku pelbagai genre. Tokoh muhaddith pada abad ini yakni Al-Allamah Syaikh Nashiruddin Al-Albani rahimahullah menghabiskan masanya di Perpustakaan Zahiriyyah untuk membaca dan mengkaji. Ulama’ non arab berdarah Eropah namun mampu menguasai bahasa arab sehinggalah lahir kitab karangan beliau yang dikenali ramai, Silsilah al-ahadith Ash-Shahihah. Kitab yang menghimpunkan hadith-hadith shahih dibawah penilaian beliau. Bahkan terdapat banyak lagi karya hasil tulisan Syaikh Nashiruddin al-albani sepanjang hidupnya. Teladanilah semangat kental dari ulama’ kota al-bania ini. Hanya kerana membaca beliau mampu menulis buku sendiri. Mengunjungi Perpustakaan juga boleh menarik minat membaca.

3. Masuk ke kedai buku. Banyak kedai buku menawarkan harga buku berpatutan. Tidak mengeringkan poket dan kadang-kala ada diskaun diberikan. Sebelum membeli, bacalah sinopsis buku di hadapan atau di belakang kulit buku supaya boleh mengetahui secara ringkas mengenai perjalanan buku tersebut. Cara ini akan membantu individu membuat pilihan sama ada meneruskan keinginan atau membatalkan pembelian.

4. Beli buku paling laris di Pasaran. Buku paling laris di Pasaran pasti ada sesuatu yang menarik perhatian sehingga dibeli dan diangkat best seller. Sebagai contoh, buku Why Men Cant Only Do One Thing and Women Never Stop Talking termasuk carta Best Seller di antarabangsa kerana ditulis oleh penulis international Allan dan isterinya Barbara Pease. Mereka berdua telah menulis 18 buah buku best seller dan diterjemahkan ke dalam puluhan bahasa asing. Allan, ahli bahasa badan kelahiran Australia memiliki kepakaran dalam mengakses karekter lelaki dan perempuan. Buku ini menjelaskan bagaimana hendak mengenal watak, emosi dan tingkah laku pasangan lebih dekat berdasarkan kajian.

5. Baca dalam keadaan perlahan. Membaca dalam situasi laju boleh mencacatkan bacaan dan menyebabkan seseorang mengimbas kembali halaman sebelumnya. Lama kelamaan boleh menjadi bosan. Pembacaan perlu dalam keadaan harmoni dan menghayati setiap isi kandungan. Kemudian tidak lupa mencatat topik menarik agar dapat memperolehi ilmu bermanfaat. Bagi pemula, jangan tergesa-gesa dalam membaca. Untuk yang cekap membaca, boleh cuba menggunakan kaedah speed reading yang diperkenalkan oleh Tony Buzan. Buku yang mempelajari teknik membaca laju dan cepat.

6. Tetapkan target. Peruntukkan masa dan tempoh membaca. Contoh, sebulan sekurang-kurangnya dihabiskan untuk sebuah buku. Elak tukar-tukar tajuk buku tanpa menghabiskan satu buku. Sesetengah pencinta buku barangkali jika bosan akan beralih pada buku yang lain. Tidak ada masalah. Namun, pada pendapat saya pembaca yang baik dan berdisplin apabila dia berjaya menghabiskan bacaan pada sebuah buku terlebih dahulu.

7. Membaca dalam suasana tenang. Elak membaca dalam suasana bising yang boleh mengganggu konsentrasi hingga terpaksa memilih menutup buku seperti membaca dalam keadaan radio dan televisyen dibuka. Jauhi hal-hal yang boleh merosakkan mood akibat gangguan suara. Namun dalam satu keadaan pula ada yang gemar membaca dalam suasana embience seperti mendengar bunyi orang membuka halaman buku di Perpustakaan. Atau suara rintikan hujan turun membasahi atap bumbung. Kerana inilah erti ketenangan dan cara relaks menikmati buku. Barangkali tips ini boleh memaksa menaikkan semula semangat membaca.

8. Bukan dalam keadaan mengantuk. Kebiasaannya, buku selalu menjadi alat melelapkan mata di waktu malam. Pada waktu siang, jangan membaca buku ketika sedang mengantuk. Baca ketika bertenaga dan beristirehat. Kadangkala rasa mengantuk pada siang hari juga kerana faktor keletihan bekerja. Jika hendak meneruskan bacaan, banyak berehat, agihkan masa membaca agar tidak berlanggar dengan rutin jadual harian.

9. Mengikuti kumpulan buku. Kumpulan buku boleh didapati di laman facebook misalnya. Buatlah permohonan keahlian dan ikutilah aktiviti-aktiviti membaca yang diadakan seperti peraduan kuiz, resensi buku dan sebagainya. Cubalah turut serta berada dalam kalangan pencinta-pencinta buku.

10. Simpan duit. Faktor paling ketara yang menghalang meneruskan hajat membaca buku juga kerana wang tidak mencukupi. Mulailah menabung. Sehari 1 ringgit, sebulan boleh dapat 30 ringgit untuk sebuah buku. Harga 30 ringgit sahaja sudah boleh memiliki 1 buku travelog Secangkir Teh Pengubat Letih karya Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Atau Kenangan-kenanganku Di Malaya dari Prof Hamka.

Tips ini mungkin sedikit berbeza kerana masing-masing ada cara memupuk tabiat membaca. Harapan saya agar panduan yang diberikan dapat menolong seseorang dari terkena block reader. Semoga tips yang dipaparkan bermanfaat buat sekalian. Budayakan amalan membaca. Membaca kaya ilmu dan peribadi. Selamat membaca!


Suriati Binti Munal, berasal daripada Sandakan, Sabah. Umur 27 tahun. Suri rumah sepenuh masa. Berkahwin dengan penulis buku dari Kelantan, berjudul Sirah Dan Sejarah (Antara Fakta Atau Kebohongan) dan Himpunan Sirah-Sirah Yang Tidak Shahih. Mempunyai seorang anak perempuan. Suka berkongsi ulasan-ulasan buku di website Konfess buku sejak 2019 dan sudah 22 ulasan yang berjaya dihasilkan. Gemar menulis dan menghantar artikel ke beberapa website. 1 artikel telah diterbitkan oleh TZKR.COM. 1 lagi artikel telah diterbitkan di Jejak Tarbiah. Peserta bengkel Penulisan Koloni Timur 1 dibawah kelolaan Bonda Nor.

Leave a Reply

Loading…

Resensi Buku: Rumah Kupu-Kupu oleh SM Zakir

Kisah Mariah Dan Margaretta oleh Hamka