Rindu Bau Pohon Tin merupakan catatan kembara Ustaz Hasrizal Abdul Jamil sepanjang menjadi pelajar di Universiti Mu’tah, Jordan. Buku yang mengandungi 221 muka surat ini banyak menceritakan pengalaman dan kenangan pahit manis yang dilalui oleh penulis. Buku ini merupakan buku terbitan semula di bawah syarikat Jejak Tarbiah Publication. Cetakan pertama diterbitkan pada tahun 2020 dan dimasukkan ke dalam kategori travelog tarbiah.

Klik gambar untuk beli!

Buku ini mempunyai dua bahagian. Bahagian pertama menceritakan tentang pengalaman penulis sepanjang berada di bumi Jordan dan dibahagikan kepada dua puluh tiga subtopik, manakala bahagian kedua pula mempunyai hanya empat subtopik. Berbeza dengan bahagian pertama, dalam bahagian kedua ini, penulis menceritakan tentang pengalaman beliau berprogram di Qatar, namun suasana di Qatar itu sedikit sebanyak dapat mengubat rasa rindu penulis kepada bau pohon tin di Jordan.

Hasrizal (podcast) - Hasrizal Abdul Jamil | Listen Notes
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil

Penulis buku ini, Hasrizal Abdul Jamil, atau lebih mesra dipanggil ustaz Hasrizal, terkenal sebagai seorang penulis yang prolifik, terutamanya penulisan beliau di blog utama beliau www.saifulislam.com. Pengalamannya yang tidak sedikit di pelbagai negara membuatkan penulisan ustaz Hasrizal banyak ke genre travelog di mana beliau menceritakan pengalaman-pengalaman di setiap negara yang semestinya banyak memberi kesan kepada pembaca dan kepada kehidupan beliau sendiri.

Istimewanya buku Rindu Bau Pohon Tin ini adalah kerana Jordan merupakan negara pertama selain Malaysia yang pernah beliau kunjungi dan tempoh beliau menetap di Jordan bukanlah satu tempoh yang singkat. Di bumi Jordan ini lah terciptanya kenangan suka duka, tawa dan air mata yang mengajar tentang kehidupan dan mendewasakan penulis.

“Izinkan diri untuk menempuh perubahan dari satu usia ke satu usia, kerana ia sebahagian daripada proses kematangan Bani Insan.”

Di awal usia 18 tahun, Ustaz Hasrizal dan beberapa rakan yang lain telah terbang jauh dari keluarga dan tanah air demi segunung impian dan cita-cita. 10 tahun menjadi tetamu di Dataran Syam. Terlalu banyak rasa yang tidak teluah, hanya sekadar cubaan menzahirkan rindu dengan kata-kata. Rindu Bau Pohon Tin. Uniknya buku ini adalah kerana bahasa dan gaya penulisannya yang ‘ringan’ dan mudah difahami oleh pelbagai lapisan masyarakat namun begitu sarat dengan ibrah. 

Buku ini membuai kita dalam khayalan perasaan. Adakala muncul rasa gembira apabila penulis merakamkan perasaan beliau sewaktu mendapat penempatan belajar iaitu di Universiti Mu’tah, Mu’tah, Jordan. Ditempatkan di salah satu negeri yang terpencil pada usia yang sebegitu muda, banyak mengajar penulis tentang erti sebenar kehidupan.

Buku ini kemudiannya memberikan kita air mata saat penulis menggambarkan detik-detik beliau kehilangan lima orang rakan seperjuangan dalam satu malam yang sama. Benarlah, perjuangan di jalan Allah itu perlu banyak pengorbanan. Ada yang tersungkur separuh jalan, ada yang pulang menggenggam kejayaan. Ada juga yang perginya tidak kembali.

Penulis juga ada menceritakan suasana menuntut ilmu di sana. Suasana di dalam dewan kuliah bersama pensyarah yang agak ‘garang’, dan ada juga suasana bertalaqqi di luar dewan kuliah seperti di masjid-masjid terutamanya banyak diceritakan sewaktu sedang mendengar khutbah Jumaat sehinggakan ramai jemaah yang berlumba mencari masjid yang mana khatib dan tajuk khutbahnya yang menarik serta mengikuti isu semasa.

Tidak kurang juga penulis melakarkan suasana menetap di Dataran Syam ini. Penulis menggambarkan keramahan jiran-jiran tetangga dan penduduk tempatan dalam meraikan pelajar Malaysia di sana, juga pengalaman menyambut bulan Ramadhan yang sangat meriah dengan undangan berbuka puasa di rumah-rumah, bahkan ramai juga tetangga yang berkongsi juadah bersama mereka. Namun, tidak semuanya indah. Meskipun telah dimaklumkan lebih awal oleh senior-senior tentang masalah air di sana, berbeza rasanya dengan mengalami sendiri situasi tersebut.

Penulis menceritakan bagaimana mereka perlu membiasakan diri dengan hanya mandi tiga hari sekali bagi menjimatkan air. Bukan itu sahaja, berwuduk pun kadang-kadang hanya menggunakan satu cawan air. Cerita penulis, pada setiap hari Jumaat, para penduduk akan mengambil air yang dibekalkan. Pada waktu itu, segala urusan mereka adalah berkisarkan ‘air’. Pada hari Jumaat lah mereka membasuh pakaian, mencuci segala pinggan mangkuk yang disimpan selama seminggu, dan pada hari itu la mereka akan mandi sepuasnya dan berhias secantiknya untuk menunaikan solat Jumaat. Meriahnya suasana pada hari Jumaat, penulis gambarkan seakan pagi hari raya!

Penulis juga ada menyentuh sedikit tentang sejarah para nabi dan sahabat di bumi Jordan. Sebagai contoh, kisah perang yang mensyahidkan tiga pejuang Islam yang sangat berani dalam menentang musuh dan yang lebih menarik adalah rumah tempat penulis dan rakan-rakan tinggal, tidak jauh dengan makam tiga tokoh tersebut. Subhanallah!

Antara topik yang menarik minat saya adalah ketika penulis menyentuh isu kelas kuliah dan bertalaqqi, bagaimana dua sumber ilmu ini saling berkait dan memerlukan antara satu sama lain. Penulis ada memberi pesan bahawa jangan lah kita terlalu fokus dalam kelas kuliah sehingga mengabaikan kebaikan bertalaqqi dan jangan pula kita terlalu taksub dengan bertalaqqi sehingga memandang rendah dengan kelas di dalam dewan kuliah.

Manakala bab yang paling menyentuh pada saya pula adalah bab di mana seorang murabbi yang terkenal dengan sifatnya yang tegas, menitiskan air mata di dalam dewan kuliah kerana sayangnya beliau terhadap anak didik. Ayat dari guru tersebut yang paling saya ingat adalah “Aku mengajar kamu agar kamu hidup menyembah Allah. Jangan jadi musuh Allah, apatah lagi musuh Allah berijazah Syariah!’

Beruntungnya penulis pada ketika itu yang sempat menyaksikan perubahan-perubahan yang berlaku di bumi Anbiya’ itu. Dari sekecil-kecil perubahan seperti hilangnya keramahan penduduk tempatan kepada pelajar Malaysia, sehinggalah kepada perubahan besar yang melibatkan negara-negara luar seperti UK dan Israel. Siapa sangka, penulis sempat menyaksikan bagaimana “Perjanjian Damai” yang dimetrai memberikan satu impak yang cukup besar buat negara Jordan. Negara yang dahulunya lantang membela nasib saudara se-Islam di Palestin, kini tunduk akur dengan arahan pemimpin.

Membaca kisah generasi awal pelajar Malaysia yang menuntut di luar, khususnya Jordan, ini memberikan impak yang berbeza dengan membaca travelog-travelog yang lain. Tidak hanya menyaksikan kemajuan dan perbezaan antara negara luar dengan tanah air kita, malahan mereka menjadi saksi kepada perubahan yang ada darinya yang membawa kebaikan, dan tidak kurang yang mencipta kemudaratan.

Disediakan oleh,

Anis Nabilah

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.