Anak ini memang merupakan rezeki daripada Allah tetapi kita sebagai seorang ibu dan bapa dan bakal bergelar ibu bapa perlu membuat pelbagai persediaan tentang ilmu keibubapaan. Persediaan menjadi ibu bapa tidak perlu tunggu setelah bernikah tetapi perlu belajar sebelum memasuki alam rumah tangga lagi sebenarnya. Apabila kita sudah bergelar ibu bapa, kehidupan kita akan berubah, baik dari segi rutin, perancangan kewangan dan hubungan antara suami isteri.

Membesarkan anak tidak semudah yang kita sangka. Usah ditanya kepada mereka yang baru berkahwin bilakah mereka akan mempunyai anak. Usah ditanya kepada orang yang baru mempunyai anak seorang, bilakah mahu menambah anak. Bila untuk mempunyai anak atau bila untuk menambah anak bukan hal yang penting. Hal yang lebih penting adalah, adakah kita sudah bersedia untuk mempunyai anak? Adakah kita sudah bersedia untuk menambah bilangan anak?

Manakah yang lebih utama, mengejar galakan Islam dalam meramaikan anak, atau memastikan anak-anak dapat dibesarkan dengan selamat sewaktu fitnah akhir zaman ini?

Aku Terima Nikahnya, halaman 106

Untuk mereka yang bergelar ibu bapa dan mereka yang bakal bergelar ibu bapa, ini 10 pesanan Ustaz Hasrizal untuk anda.

Anak-anak jiwanya tidak sebesar ayah dan bonda. Kasihnya kadang-kadang tidak sampai ke makam ayah dan bonda.

Setiap ibu bapa menerima anak mereka anak mereka tanpa syarat. Saat anak itu dilahirkan dalam keadaan tidak sempurna atau anak itu degil, rajin, culas atau tantrum, ibu dan bapa menerima anak mereka seadanya. Ibu dan bapa pasti akan membesarkan anak dengan penuh kasih sayang tanpa pernah mengungkit kembali kepada anaknya.

Menyengajakan beberapa kesalahan.

Kesusahan itulah guru sebenarn dalam kehidupan. Sebagai ibu bapa, pasti kita mahu berikan yang terbaik untuk anak-anak tetapi bukanlah bermaksud perlu memenuhi segala permintaan anak-anak. Ibu bapa perlu membataskan pemberian kepada anak. Ajarlah anak-anak agar sesekali mereka tidak dapat apa yang diminta. Ajar anak untuk berusaha sendiri. Kesusahan itulah yang menjadikan kita lebih bertanggungjawab dan lebih berdisiplin.

Jika mahu anak mendengar kata, belajarlah untuk mendengar pandangan anak-anak.

Seorang ibu dan bapa kepada manusia ialah mereka yang sedar bahawa anak mereka bukan hanya ada perut tapi akal dan minda yang memerlukan makanan. Maka, bekalkan mereka dengan pendidikan. Anak akan ikut apa yang dilakukan oleh ibu bapa mereka. Ibu bapa juga harus sedar bahawa anak-anak mereka bukan hanya ada fizikal dan mental tetapi emosi. Makanan emosi ialah kasih sayang dan perhatian. Biasakan diri mendengar pandangan anak-anak kerana mereka juga sedang belajar untuk mendengar pandangan kita.

Janganlah sesekali mengambil mudah hal-hal yang berkaitan keselamatan anak-anak.

Ibu bapa bukan sekadar perlu persediaan membesarkan dan mendidik anak tetapi perlu ilmu tentang keselamatan anak-anak sebelum mereka lahir lagi. Berapa ramai bayi meninggal kerana kecuaian ibu bapa sendiri. Luangkanlah sedikit masa untuk belajar walaupun dari internet. Sekarang semuanya di hujung jari.

Jangan dimatikan kebolehan anak-anak dengan kemalasan ibu bapa.

Perkembangan anak-anak sangat pesat sejak berusia 0 bulan lagi. Bak kata orang kita, makin membesar, makin panjang akal. Nakal, lasak, banyak bercakap, bising itulah sebenarnya tanda anak kita berkembang dengan baik dan sihat. Jangan disebabkan kita malas nak ‘layan’ mereka atau melarang mereka itu dan ini, akan membantutkan kebolehan anak-anak.

Anak derhaka pada akhir zaman, bermula dengan dosa ibu bapa yang sibuk bekerja.

Tidak wajar kita menyangka kita sudah menjadi ibu bapa yang baik hanya kerana makan pakai anak mencukupi. Soal makan minum, pakaian, perlindungan dan pendidikan, makanan emosi dan spiritual perlu diharmonikan bersama. Tahu kita sibuk bekerja tetapi jangan dilupakan tanggungjawab kita kepada keluarga. Berapa ramai orang yang hebat dan mempunyai pangkat yang tinggi tetapi anak mereka ketinggalan di belakang. Berjaya tinggi manapun seorang ibu dan bapa, jangan dilupakan pengorbanan anak-anak selama ini.

Anak kita mungkin gagal mengikut kata-kata ibu bapa tetapi mereka tidak gagal meniru perangai dan tingkah laku kita.

Anak-anak adalah cerminan ibu dan bapa. Jika baik ibu bapanya, maka baiklah anak-anaknya. Begiu juga sebaliknya. Anak yang selalu dimarahi akan membesar menjadi seorang yang pemarah dan akan memarahi anak-anak mereka kelak. Begitulah yang akan berlaku jika kita tidak mengubah diri kita.

Belajar menerima teguran anak-anak agar teguranmu diterima.

Adakah kita menghormati anak-anak sebagai manusia yang sempurna? Orang tua harus pandai menunjukkan cara mereka menghormati anak-anak dan dengan itu yakinlah anak-anak juga akan secara semula jadi menghormati orang yang lebih tua.Kita tidak boleh sangka bahawa kita sebagai ibu bapa ini sentiasa betul dengan alasan kerana kita lebih banyak makan ‘garam’ dan memandang remeh dengan apa yang dikatakan oleh anak-anak.

Emosi anak-anak yang gagal diluahkan akan menjadi penyakit dalam personalitinya.

Anak kecil dilayan seperti orang yang sudah dewasa, anak yang sudah dewasa dilayan seperti budak kecil. Tidak pelik jika hospital psikiatri sekarang penuh dengan pesakit kanak-kanak dan remaja. Jangan pernah kita memandang remeh dengan emosi kanak-kanak. Semakin dibiarkan semakin menjadi barah dalam kehidupannya. Walaupun kita tidak mampu untuk selesaikan masalah yang dihadapi anak, sekurang-kurangnya kita belajar mendengar luahan anak disamping mengajar anak untuk mengurus emosinya dengan baik.

Ibu dan bapa yang hanya tahu membawa anak-anak mereka lahir ke dunia ialah ibu bapa yang membenci kami.

Kehilangan kasih dan sayang adalah seperti dahaga yang tidak bertemu minum, lapar yang tidak bertemu makan. Imej ibu bapa yang sibuk bekerja, tiada masa dengan anak. Jika ada masa pun hanya sibuk bermain dengan telefon dan sebagainya akan melahirkan generasi yang songsang iaitu generasi yang kesunyian. Tidak pelik jika anak tidak mahu mendengar kata ibu bapa mereka. Dan lebih parah lagi, mereka mencari orang lain sebagai tempat menumpang kasih sayang. Ini adalah alasan mengapa remaja kini terjebak dengan budaya ‘couple’.

Inilah rahsia mengapa Allah SWT melantik ibu dan bapa sebagai guru pertama kepada setiap bayi yang lahir ke dunia. Oleh sebab itu, ibu dan bapa adalah manusia yang paling kaya dengan cinta dan kasih sayang kepada anak-anak mereka. Ibu bapa perlu tahu bahawa kasih sayang bukan perkataan tetapi perbuatan. Cinta tanpa syarat itu hanya ada pada seorang yang bergelar ibu dan bapa.

Disediakan oleh: A. Rafa

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.