in ,

10 Kata-Kata Menginspirasikan oleh Buya Hamka

Ada orang, hidup betul-betul hidup. Ada orang, hidup tetapi sebenarnya mati. Mati jiwanya, mati akalnya. HAMKA menyifatkan kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera juga bekerja. Jadinya apa beza antara kita manusia dan juga haiwan jika kita yang dikurniakan akal tidak menggunakan akal sepenuhnya?

Hanya dengan satu soalan itu, ulama besar Nusantara yang tersohor ini membuatkan kita berfikir panjang mengenai kehidupan.

“Kehidupan itu laksana lautan. Orang yang tiada berhati-hati dalam mengayuh perahu, memegang kemudi dan menjaga layar, maka karamlah ia digulung oleh ombak dan gelombang. Hilang di tengah samudera yang luas. Tiada akan tercapai olehnya tanah tepi.”

Bukan mudah untuk benar-benar menjalani hidup yang hidup. Tidak ada seorang pun antara kita yang tidak terlepas daripada menerima sebarang ujian. Kata HAMKA, hidup itu seperti lautan. Kadang-kala damai tenang mempesona, kadangkala ribut ombak kuat menggila. Untuk mengharungi lautan haruslah dibekalkan panduan, supaya tidak karam di pertengahan pelayaran.

Apalah guna kalau hanya kaya luaran material tetapi kontang jiwa kalbu. Lalu ramailah yang terumbang-ambing mencari pengertian dan pedoman hidup. Tulisan magis HAMKA yang menggambarkan pemikirannya sekali gus menjadi pengajaran dan pedoman buat kita. Untuk memandu hidup haruslah seimbang nilai bertuhan dan juga nilai kemanusiaan. Barulah teguh menghadapi sebarang keadaan.

 “Iman tanpa ilmu bagaikan lentera di tangan bayi. Namun ilmu tanpa iman, bagaikan lentera di tangan pencuri.”

Hidup sebagai seorang hamba bertuhan, sudah tentunya iman dan ilmu dijadikan panduan utama.

Hidup tanpa diserikan dengan ujian umpama masakan tawar tanpa gula dan garam. Ujian sebagai penguat jiwa menambah pengalaman dan kebijaksanaan. Lumrah kita selalu mengharapkan panas berpanjangan, tetapi tak disangka hujan tiba-tiba di tengah hari. Sesekali jatuh terduduk kita, apabila disergah kejutan nasib. Kepada siapa kita mahu mengadu? Daripada siapa kita boleh belajar mencari secebis kekuatan, buat penguat perjalanan? Berbekalkan iman, ilmu dan ihsan moga lebih tenang hadapi saja apa jua yang mendatang.

“Jika kita dapat menyelamatkan diri kita sendiri, para Nabi tidak perlu ada untuk keselamatan kita.”

Sesungguhnya penurunan al-Quran dan sejarah nabi-nabi itu tidaklah sia-sia. Pedoman terbesar, motivasi terulung, keajaiban terkuat terkandung di dalamnya. Hanya tinggal kitalah saja untuk menggali dan berfikir. Apalah guna dikurniakan akal jika kita tidak berfikir. Walaupun penat melangkah, walaupun gagal tersadung dek dosa berkali-kali, tetapkanlah hati bersihkanlah jiwamu. Demi menuju atau pun kembali ke jalan kebenaran.

“Jangan takut jatuh, kerana yang tidak pernah memanjatlah yang tidak pernah jatuh. Yang takut gagal, kerana yang tidak pernah gagal hanyalah orang-orang yang tidak pernah melangkah. Jangan takut salah, kerana dengan kesalahan yang pertama kita dapat menambah pengetahuan untuk mencari jalan yang benar pada langkah yang kedua.”

Hidup di dunia, mustahil akan kita hidup sebatang kara. Tunggal itu hanya milik Tuhan yang Maha Esa. Selain dari-Nya, semuanya saling bergantungan dan berpasangan. Sunyilah diri ini tanpa namanya teman ataupun sahabat taulan.

Jutaan manusia hadir di dunia, namun hanya beberapa sahaja yang terpilih atau dipilih untuk kita berteman.

“Supaya engkau mendapat sahabat, hendaklah diri engkau sendiri sanggup menyempurnakan menjadi sahabat orang.”

Semua orang mahukan sahabat yang sama cita dan fikirannya, yang saling memahami, yang boleh menasihati. Pesan HAMKA, jika kita mahu dipilih menjadi sahabat, seharusnya kitalah terlebih dahulu menjadi seperti apa yang kita harapkan kepada sahabat yang kita mahukan. Sempurnakan dahulu diri sendiri jika mahu sahabat yang sempurna.

Tidak sedikit yang pada asalnya bersahabat kemudian berubah menjadi cinta. Tidak semua sahabat antara lelaki dan perempuan mempunyai cinta, tetapi semua cinta haruslah saling bersahabat.

Cinta milik sang pemberani, bukan sang pengecut. Demikian kata HAMKA,

“Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat.”

Buat yang masih mencari kekuatan dan semangat, menjadi berani itu tidaklah mudah tetapi tidaklah mustahil. Di sebalik setiap kesusahan ada kesenangan. Biarpun perlahan-lahan langsung tidak mengapa, asalkan tetap terus memberanikan diri. Tuhan akan merahmati setiap usaha dan langkah kalian.

 “Cinta bukan melemahkan hati, bukan membawa putus asa, bukan menimbulkan tangis sedu sedan. Tetapi cinta menghidupkan pengharapan, menguatkan hati dalam perjuangan menempuh onak dan duri penghidupan.”

Walau sesusah mana pun dugaan yang datang, dengan cinta, terasa hari kembali menjadi indah. Pelangi sentiasa ada. Jika hidup itu laksana bunga, maka cinta itu laksana madunya. Tidak nikmat hidup tanpa merasai cinta.

“Bahawasanya cinta yang bersih dan suci (murni) itu, tidaklah tumbuh dengan sendirinya.”

Sedangkan pokok bunga yang ditanam daripada benih, perlu dibaja, disiram dan dijaga dengan penuh prihatin, apatah lagi cinta. Dijemur di bawah terik mentari, dilanda ribut hujan, tetap teguh berdiri dan tumbuh sejati. Asalkan akarnya sudah kuat membumi. Berani sahaja masih tidak cukup. Perlukan usaha yang baik dan kerja keras daripada kedua-dua pencinta. Tidak mungkin tumbuh cinta yang subur jika segala keperluan tidak seimbang tidak terjaga.

Apabila kenal sudah akan cinta, kenallah sudah akan sebahagian keindahan terbesar dunia. Walau bagaimanapun haruslah kita sentiasa ingat, keindahan di dunia bukanlah hanya cinta semata.

 “Kenal akan keindahan dan sanggup menyatakan keindahan itu kepada orang lain adalah bahagia.”

Saling menebar kebaikan itu juga keindahan nyata. Tidaklah susah untuk mencari kebahagiaan. Haruslah disediakan jiwa yang luas lagi lapang untuk berbagi. Bukanlah berbagi barangan material wang semata. Berbagilah apa sahaja yang termampu termasuk juga segala usaha, tenaga, buah fikiran, kata nasihat, doa yang baik bahkan semudah senyuman manis ikhlas juga antara yang kita mampu berbagi.

“Orang berakal hidup untuk masyarakatnya, bukan buat dirinya sendiri.”

Baru secebis tinta HAMKA yang kalian baca di tulisan sederhana ini, apatah lagi lebih banyak hikmah dan pelajaran yang diperoleh jika kita membaca karya-karya agung beliau.

Sudah namanya hidup harus saling bergantungan. Rugi amatlah jika hidup hanya fikirkan kepentingan diri semata. Ladang ganjaran Tuhan itu luas sekali, dan mesti dikerjakan juga untuk orang lain. Barulah hidup menjadi lebih nikmat dan benar-benar hidup. Seperti yang selalu kita dengar erti hidup pada memberi.

Disediakan oleh,

Hanis Hafizah

Leave a Reply

Loading…

5 Tips Mudah Membaca Buku Agama

Penulisan Sejarah; Antara ‘Pop’ Ilmiah Atau Akademik?