Home Artikel Resensi Buku Selepas 3 Dekad, Yusuf Islam Memetik Gitar Demi Islam

Selepas 3 Dekad, Yusuf Islam Memetik Gitar Demi Islam


“Seorang anak muda pulang ke rumah dan tanpa disedari telah mengingatkan bapanya bahawa sudah tiba masanya untuk berubah. Bukankah itu tema bagi sebuah lagu yang pernah saya karang berjudul Father & Son (Bapa & Anak)”

   Mengapa Saya Masih Memetik Gitar, satu catatan rohani peribadi oleh Yusuf Islam. Buku berkulit keras ini setebal 120 mukasurat ini merupakan sebuah buku terjemahan yang bertajuk Why I Still Carry A Guitar yang diterbitkan oleh Motivate Publishing pada tahun 2014. Buku ini diterjemahkan oleh Mohd Al-Ariff Jasmani dan Anis Shahirah Abdul Sukur dengan hak penerbitan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia pada tahun 2015.

   Penulis berasa selesa dengan buku ini. Susun aturnya kemas. Firman Tuhan, kata Rasul serta lirik lagu dibezakan dengan cermat sekali. Gambar-gambar Yusuf Islam yang dipaparkan sangat relevan dengan setiap topik menggambarkan ketenangan yang Yusuf Islam kecapi semenjak kembali ke fitrah pada 1977.

   Sepanjang pembacaan, penulis terbuai-buai dengan perjalanan hidup Yusuf Islam semenjak dia mula terlibat dengan dunia hiburan. Sekadar mengimbas kembali secara ringkas kehidupannya sebagai Cat Stevens (nama asalnya), sudah cukup untuk penulis mengenali beliau dalam meniti dunia glamor.

   Dengan gaya bahasa yang mudah dan santai, penulis mula merasakan gelora jiwa Yusuf Islam dalam mencari makna kehidupan. Beliau meneroka, mencuba dan merasai sendiri pelbagai amalan hidup dan kepercayaan sebelum diberi terjemahan Al-Quran oleh abangnya sendiri, David.

   Yusuf Islam kemudiaannya meneruskan naratifnya selepas beliau memeluk Islam. Beliau tidaklah serta merta berhenti menyanyi dan masih mengarang dan menyanikan lagu selepas memeluk Islam. Hanya selepas album terakhirnya yang bertajuk Back To Earth diterbitkan dengan nama Cat Stevens pada 1978, barulah beliau membebaskan dirinya daripada dunia hiburan. Ketika itu bukanlah kekhilafan hukum tentang bermain muzik yang menjadi faktornya, tetapi lebih kepada keinginannya untuk mendalami ilmu Islam dan mengamalkannya. Penulis berasa sangat kagum dengan semangatnya yang kuat untuk benar-benar kembali kepada fitrah.

   Lawatannya ke dua tanah suci, Mekah dan Madinah telah mengubah haluannya sebagai seorang penyanyi. Berhadapan dengan pendapat yang keras iaitu haram hukumnya bermain muzik, Yusuf Islam akur dengan pendapat itu dan meninggalkan dunia muzik. Namun pada masa yang sama, beliau masih tidak menerima sepenuhnya melalui kajiannya sendiri terhadap nas-nas yang sahih dalam pengharaman muzik di dalam Islam.

   Kini, Yusuf Islam menulis dengan begitu ringkas kehidupannya selepas itu sebelum dibuka semula dengan lembaran baru, lembaran pergolakan di dalam dunia Islam.

   Penulisan buku ini sangat tersusun dan menarik. Penulis dibawa dari satu babak kehidupan Yusuf Islam ke babak yang lain tanpa perlu meleret-leret. Apabila beliau bercertia tentang Revolusi Iran, Peperangan Iraq-Iran, pencerobohan Afghanistan oleh Kesatuan Soviet, perjuangan rakyat Palestin serta peranan kuasa-kuasa besar disebalik pergolakan politik dunia Islam secara tidak langsung penulis tahu bahawa Yusuf Islam adalah seorang insan yang cintakan kedamaian dan keadilan.

   Di sinilah penulis dapati Yusuf Islam mula berkongsi pengalaman beliau dalam mencari jawapan kepada mengimbangi dunia dengan keamanan dan keadilan anjuran Islam menentang pandangan buruk terhadap Islam iaitu Islamphobia.

   Terdapat dua topik yang secara khusus Yusuf Islam membentangkan kes beliau kembali aktif kepada dunia muzik. Beliau berkongsi semua nas dan dalil dengan baik sekali dan sangat mudah difahami. Apatah lagi ia diselangi dengan sebab mengapa beliau mahu menggunakan muzik sebagai salah satu jalan dakwah beliau, Di sinilah, kita sebagai pembaca dapat memahami mengapa Yusuf Islam kembali memetik gitar selepas hampir 28 tahun tidak melakukannya.

   Pada pendapat penulis, buku ini sangat santai namun memberi kesan yang mendalam. Di sebalik naratif, Yusuf Islam memasukkan lirik-lirik lagu ciptaan beliau yang membawa maksud keamanan sejagat di dalam hampir setiap topik. Penulis berasa sangat seronok dan asyik membaca lirik-lirik lagu ini yang membawa seribu erti.

   Buku ini sepatutnya dibaca bukan sekadar untuk mengetahui perjalanan rohani Yusuf Islam. Di penghujung buku, penulis sedar bahawa sekiranya setiap muslim bersatu dan berdakwah dengan kemahiran, bakat dan upaya masing-masing, nescaya Islam akan menaungi semula alam mini.

Ditulis oleh SUNARDI MAULAN

Share:

You may also like

Leave a Reply